Tentang Nasihat & Pilihan

Huda Azman
2 min readSep 17, 2023

--

Kadang, orang-orang tahu apa yang perlu dibuat cuma orang-orang memilih untuk buat apa yang dia nak buat.

Jujurnya, sampai umur sekarang pun, walaupun ketika dikelilingi oleh orang yang lebih muda, saya tak pernah berani mengutarakan pendapat tanpa dipinta.

Bukan kerana takut, tapi kerana bimbang, memberi pendapat ketika tidak diminta tidak bersesuaian dengan keadaan dan situasi orang tersebut.

Bayangkan ketika kita terlalu lantang memberi nasihat hanya daripada secebis maklumat dari apa yang kita lihat atau dengar, tanpa mengetahui cerita di sebaliknya, atau latar belakang orang tersebut.

Kemungkinan untuk pendapat tersebut tidak bersesuaian dengan situasi yang dialami kawan, saudara atau sesiapa sahaja, dan mungkin juga akan membawa kepada masalah lain.

Ada orang mudah dinasihati dan mudah untuk berubah. Ada orang yang mendengar nasihat tetapi tidak melakukan apa-apa. Ada orang lebih suka mencari perubahan tanpa dinasihati. Sebab itu, jangan terlalu lantang memberi nasihat tanpa dipinta. Terkadang nasihat juga boleh menjadi racun.

Apa yang saya pegang bila semakin dewasa kini, setiap orang sebenarnya tahu apa yang ingin mereka lakukan, pilihan ada di tangan mereka.

Tak kisah dari segi kehidupan, pekerjaan, pelajaran mahupun pasangan. Kita punya pilihan. Semua orang punya pilihan. Yang membezakan cuma keberanian setiap individu untuk mengambil risiko demi pilihan sendiri.

Tapi pengajaran yang terbaik adalah dari pengalaman sendiri. Ada orang belajar dari kesilapan orang lain, ada orang perlu buat kesilapan dan jadikannya pengajaran.

Cara orang berlainan dan tak ada siapa pun boleh menentukan cara mana yang salah dan cara mana yang betul. Kerana semua orang punya impian dan juga pilihan. Dan kadang, walaupun berkongsi impian dan pilihan yang sama, ada 1001 cara untuk sampai ke destinasi tersebut.

Secara peribadinya, saya percaya pengalaman adalah pengajaran yang paling bermakna. Saya pernah buat kesilapan dari segi kewangan, kerjaya, pelajaran. Bukan kerana tidak punya panduan, cuma lebih mengikut kata hati.

Dan melalui pilihan yang salah ini, saya belajar banyak perkara dan ambil banyak pengajaran. Once is a mistake, but twice means you’re dumb.

--

--

Huda Azman
Huda Azman

No responses yet